Saturday, October 5, 2013

DALAM LOJI KUMBAHAN ADA BAYI

DUNGUN - Mayat bayi perempuan yang cukup sifatnya ditemui di dalam loji kumbahan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
   
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata mayat berkenaan ditemui terapung oleh kontraktor pembersihan UiTM yang menjalankan kerja penyelenggaraan kumbahan kira-kira 11.30 pagi.
   
Beliau berkata pada awalnya pekerja berkenaan menyangkakan objek yang terapung itu anak patung namun setelah diamati mendapati ia mayat seorang bayi.
   
"Mereka terus memaklumkan penemuan mayat itu kepada pihak universiti sebelum melaporkan kepada polis dan kita percaya mayat berkenaan telah lama berada di dalam loji," katanya kepada Bernama.
   
Menurutnya semasa ditemui keadaan mayat bayi itu kebiru-biruan dan dipercayai meninggal dalam tempoh 48 jam. Kepalanya telah pecah manakala bahu kanan patah dan mereput.
   
Katanya mayat bayi itu dihantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat. 

ANAK UGUT IBU DENGAN PARANG

KUANTAN - Seorang lelaki yang berdepan tuduhan mengugut untuk mencederakan ibu sendiri menggunakan sebilah parang, langsung tidak kisah tentang jaminan ke atasnya memandangkan dia sendiri tidak pasti sama ada ahli keluarga akan tampil menjelaskan wang jaminan ditawarkan mahkamah.

Sebelum itu, tertuduh Shuhaimi Mohd Yusof, 38, dari Kampung Alor Batu, Jabor dekat sini mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Fatinah Abu Bakar bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas alasan keselamatan pengadu.

Tertuduh bagaminanapun meminta sebanyak RM2,000 namun mahkamah menetapkan jaminan kepada RM5,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati atau mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 7 November depan sebagai tarikh pra bicara kes terbabit dan sementara itu, dia terpaksa ditahan reman di penjara sekiranya tiada ahli keluarga menjelaskan jaminan tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya berusia 73 tahun di rumah keluarganya di Kampung Alor Batu, Jabor dekat sini kira-kira jam 7 petang, 19 September lalu.

Dalam kejadian itu, tertuduh menggunakan sebilah parang bagi tujuan menakutkan sehingga boleh mendatangkan kecederaan kepada wanita tersebut.

Berikutan laporan polis dibuat pengadu, tertuduh ditahan sehari selepas kejadian sebelum dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau keduaduanya sekali.

Friday, October 4, 2013

AMBIL TINDAKAN KE ATAS KES CABUL

SUNGAI BUAYA - Kesemua lapan keluarga suspek kes rogol kanak-kanak 12 tahun akan mengambil tindakan saman terhadap pihak terlibat mengambil, memuat naik dan menyebarkan gambar  anak mereka ke dalam akhbar, internet serta laman sosial.

Tindakan itu diambil susulan tersebarnya gambar lapan suspek termasuk beberapa individu lain berpakaian tahanan yang berada dalam sebuah van pihak berkuasa.

Ibu  seorang  suspek  yang enggan namanya didedahkan berkata, mereka tidak akan bertolak ansur dalam perkara itu kerana memalukan keluarga sedangkan anak mereka belum disabitkan kesalahan.

“Kami tidak akan bertolak ansur dalam soal ini. Ini soal maruah dan masa depan anak-anak kami.

“Bagaimana maruah kami dan bagaimana masa depan anak kami yang sepatutnya boleh dirahsiakan tetapi disebar dan disiarkan dalam media massa,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Seorang lagi ibu kepada suspek berkata, kerahsiaan itu sepatutnya tersimpan dan hanya diketahui pihak berkuasa tetapi penyebarannya di media massa mencemarkan maruah ahli keluarga suspek.

“Cukuplah  kami dimalukan dengan jiran serta penduduk kampung, tetapi kami kecewa dan tidak boleh bertolak ansur apabila maruah kami dicalar hingga diketahui seluruh negara.

“Gambar  itu sudah cukup membuka aib kami semua sedangkan perbicaraan mahkamah sekalipun masih belum berjalan,” katanya.

Menurutnya,  pihak berkuasa tidak sepatutnya terlepas pandang perkara sedemikian sepanjang suspek berada dalam jagaan atau pengawasan mereka.

Katanya, dari apa yang berlaku itu,  individu terbabit atau pihak berkuasa harus bertanggungjawab berhubung perkara ini.

Seorang bapa kepada dua suspek berkenaan berkata, anaknya baru menerima keputusan soal siasat dan masih dalam proses siasatan sepenuhnya, tetapi gambar mereka didedahkan dengan niat mengaibkan.

Katanya, sikap individu terbabit jelas mencemarkan maruah keluarga mereka sehingga tersebarnya wajah anak mereka di akhbar, internet dan laman-laman sosial.

“Maknanya, semua yang terlibat mengambil, memuat naik dan menyebar serta menyiarkan gambar tersebut di internet, laman sosial dan televisyen swasta harus bertanggungjawab,” katanya.

Sinar Harian  juga telah difahamkan bahawa gambar tersebut dirakam ketika kesemua suspek termasuk dua lelaki yang menghadapi kes berlainan sedang dalam perjalanan ke Selayang untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Gambar tersebut telah mula dimuat naik antara 20 September hingga 25 September lalu dan terus tersebar di laman internet dan sosial.

BONET WAJA ADA MAYAT

BAGAN SERAI - Dua mayat lelaki ditemui dengan kedua-dua tangan dan kaki diikat dalam but sebuah kereta yang ditinggalkan di Hentian Sebelah Alor Pongsu, menghala selatan di sini kira-kira 5.30 petang, semalam.

Selain dihurung lalat dan berlumuran darah, kepala kedua-dua mangsa yang identitinya belum dikenal pasti itu didapati dibalut dengan pita pelekat.

Menurutnya saksi yang enggan dikenali, mayat terbabit ditemui oleh seorang pekerja penyelenggara Propel yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan tandas dan kawasan sekitar hentian tersebut.




Pekerja itu berasa curiga apabila melihat sebuah kereta Proton Waja berwarna perang dihurung banyak lalat.

Difahamkan, kenderaan itu diletakkan di kawasan terbabit sejak dua hari lalu.

“Pekerja itu kemudian membersihkan tumpahan cecair merah yang menitik dari but kenderaan itu kerana menyangka ia kesan kotoran makanan.

“Bagaimanapun, bahagian but kenderaan itu masih dihurung banyak lalat meskipun tumpahan cecair itu dibersihkan dan menyebabkan kakitangan berkenaan mengesyaki sesuatu perkara buruk berlaku,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian semalam.
Sumber itu berkata, pekerja terbabit kemudiannya memaklumkan perkara tersebut kepada pengurusan Plus yang membuat laporan polis pada jam 3 petang, semalam.

Menurutnya, anggota polis yang tiba di tempat kejadian memeriksa dan memutuskan untuk memecahkan cermin tingkap bahagian belakang kenderaan terbabit bagi membuka pintunya selepas pemilik kereta tidak muncul.

“Setelah but kereta dibuka, kami semua terkejut melihat dua mayat lelaki di dalamnya," katanya.

Sementara itu, anggota Pasukan Keselamatan Sukarelawan Kerian (PKSK) yang ditemui mendakwa berita kehilangan dua lelaki berbangsa Cina yang menaiki kereta bernombor pendaftaran PGN 4203 sudah disebarkan melalui laman sosial WeChat sejak tiga hari lalu.
“Setelah pihak kami dimaklumkan mengenai penemuan kereta bernombor pendaftaran sama digunakan mangsa yang hilang itu, kami segera ke lokasi penemuan dan mengesahkan kedua-dua mangsa bunuh berkenaan adalah orang hilang terbabit,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Mohd Radwan Bachik ketika ditemui di lokasi kejadian mengesahkan kedua-dua lelaki terbabit dibunuh.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis masih tidak mempunyai sebarang maklumat tambahan berkenaan identiti mangsa dan motif kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa terbabit akan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.

“Siasatan terperinci masih dijalankan ke atas kedua-dua mangsa dan sebarang maklumat akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya.

Thursday, October 3, 2013

DR.M KATA BR1M TIDAK PERLU DI TERUSKAN

  • Tun MahathirTun Mahathir - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR

PETALING JAYA - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak perlu diteruskan dalam Belanjawan 2014, dan ini sekali gus mengurangkan kebergantungan rakyat kepada kerajaan.

Kerajaan sebaliknya perlu mencari jalan untuk melatih golongan kurang berkemampuan itu dengan sesuatu kebolehan supaya dapat menjadi sumber pendapatan mereka, katanya kepada pemberita selepas berucap di majlis Program Bicara Petang Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini.

"Sepatutnya dalam masyarakat kita, kita tak suka jadikan orang kita ini, orang yang selalu bergantung kepada kerajaan dan tak mahu membuat kerja.

"Apa yang kita dapat secara percuma tidak akan dihargai sebab itu walaupun banyak BR1M diberi," katanya sambil menambah: "Kalau betul-betul daif, miskin dan tak berupaya barulah boleh diberi bantuan."

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai cadangannya untuk Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada 25 Oktober ini.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata ekonomi negara dijangka tidak akan mengalami kesan yang besar akibat penutupan operasi kerajaan Amerika Syarikat, ini kerana perdagangan dua hala antara kedua-dua buah negara kini semakin berkurangan.

Beliau berkata jumlah dagangan negara tidak bergantung sepenuhnya dengan ekonomi Amerika Syarikat, kecuali ia terjadi di masa yang lepas.

"Kesannya sedikit sebanyak ada, tetapi kita bukan berdagang semuanya dengan Amerika Syarikat," katanya.

Dr Mahathir berkata jumlah perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat mencapai 20 peratus satu masa dahulu tetapi sekarang sudah merosot kerana kemampuan membeli di Amerika Syarikat telah berkurangan.

Operasi kerajaan Amerika Syarikat terpaksa dihentikan selepas Kongres menolak pelan kesihatan yang dibawa Presiden Barack Obama. - Bernama

Wednesday, October 2, 2013

BR1M RM1000 PERLU KE DI NAIKKAN??

  • AhmadAhmad

KOTA BHARU - Peningkatan jumlah pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada RM1,000 setiap orang dapat membantu mengurangkan beban ditanggung rakyat terutama apabila kadar harga petrol dan diesel kini dinaikkan.

Presiden Persatuan Pelindung Pengguna (Kelantan), Ahmad Othman berkata, langkah itu penting bagi memastikan golongan bawahan dapat mengimbangkan kitaran ekonomi mereka mengikut perkembangan semasa.

“Malaysia mempunyai 40 peratus golongan berkemampuan dan mungkin kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen tidak langsung menjejaskan ekonomi mereka, namun selebihnya 60 peratus lagi adalah golongan berpendapatan rendah, kurang berkemampuan dan juga miskin tegar.

“Bagi yang miskin tegar, mungkin mereka tidak menggunakan kenderaan, maka kenaikan harga minyak tidak menggugat ekonomi mereka kecuali harga barang juga turut dinaikkan, apa yang menjadi kebimbangan adalah kepada golongan pertengahan ini, mereka menggunakan kenderaan sebagai salah satu medium terpenting setiap hari, sama ada untuk bekerja mahupun urusan persendirian.

"Maka jika minyak dinaikkan, kita kena fikir juga dengan golongan tersebut, adakah ekonomi mereka akan seimbang, walaupun hanya melibatkan 20 sen sahaja,” katanya kepada Sinar Harian semalam, ketika diminta mengulas isu kesan kenaikan harga minyak petrol dan diesel kepada pengguna, berkuat kuasa Isnin lalu sebanyak 20 sen seliter.

Menurutnya, kerajaan perlu mengambil kira taraf ekonomi golongan bawahan, yang mana hampir 30 peratus daripada mereka pemaju utama perkembangan ekonomi semasa Malaysia.

Beliau berkata, jika BR1M dapat membantu meringankan beban golongan tersebut, kemungkinan besar kenaikan harga minyak tidak menjadi satu isu atau bebanan buat sesetengah masyarakat.

“Mungkin kita boleh beri BR1M sebanyak dua kali setahun, RM500 pada awal tahun dan RM500 pada hujung tahun, ia sangat membantu, bukan sahaja untuk keperluan menyara hidup tetapi ada segelintir masyarakat yang menggunakannya bagi tujuan kemasukan anak ke sekolah dan sebagainya.

“Walaupun kesan kenaikan minyak masih belum dirasai, namun saya akui menerima banyak rungutan daripadanya, apa yang kita boleh lakukan selain memberi kemudahan lain seperti BR1M dan mungkin kenaikan elaun kenderaan bagi syarikat yang menyediakan perkhidmatan tersebut, apa yang penting, ia tidak menjejaskan kestabilan ekonomi golongan pertengahan yang ada di negara kita.

“Walaupun mungkin peratusannya rendah, tetapi ia tetap memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi lebih pesat dan maju selepas ini, kita kena ambil kira semua pihak dan golongan, apa yang penting, kita dapat bantu dari segi lain pula,” katanya.

Tuesday, October 1, 2013

GEMBIRA BERTUKAR DUKA DAN KECEWA

Kenduri beracun: Pengantin baharu terkilan
Tajul Urus menyampaikan sumbangan kepada Che Norma Khalid, 45, yang kehilangan anak bongsunya, Mohd Nor Rahmat Yusof, 11, akibat keracunan makanan.


YAN - Tragedi keracunan makanan di majlis kenduri perkahwinan di Kampung Huma, Tanjung Dawai, yang meragut tiga nyawa kelmarin menjadi sejarah hitam buat pengantin baru berkenaan.

Hasliyana Yusuf, 22, berkata, dia sedih dengan kejadian dan tidak menyangka majlis raja sehari bertukar menjadi tragedi hitam.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, trauma dan kesal dengan apa yang berlaku pastinya tidak dapat dilupakan.

“Kami sekeluarga begitu gembira dengan majlis yang diadakan memandangkan saya anak pertama yang melangsungkan perkahwinan.

“Namun, kejadian ini berubah menjadi nasib malang buat kami,” katanya ketika ditemui di Hospital Yan, semalam.

Menurut bekas pelajar Politeknik Port Dickson itu, keluarganya sendiri turut mengalami keracunan sama.

“Mak, kakak dan adik saya turut mengalami keracunan dan ditahan di wad. Manakala keluarga sebelah suami saya tidak ada yang menerima kesan keracunan itu,” katanya.

Bapa pengantin, Yusuf Ahmad, 55, berkata, masakan yang disediakan kepada tetamu jemputan sempena kenduri itu dimasak oleh kakaknya dengan bantuan saudara-mara lain.

“Juadah yang kami sediakan ialah ayam masak merah, gulai ikan talang, kerabu pucuk paku dan sambal ikan bilis.

“Manakala ayam yang dijadikan juadah ditempah daripada dua pembekal dan satunya membekalkan ayam yang sudah berbau,” katanya.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain yang juga Adun Tanjong Dawai berkata, kerajaan negeri menghulurkan sumbangan RM1,000 kepada keluarga yang maut manakala RM200 kepada mangsa yang dirawat di hospital.

Katanya, kerajaan negeri bersimpati dengan peristiwa ini yang merupakan satu tragedi yang tidak diduga sesiapa termasuk tuan rumah.,” katanya ketika melawat 63 mangsa yang masih menerima rawatan di Hospital Yan, semalam.

LIHAT ISTERI MAUT DI DEPAN MATA

Isteri maut depan mata
Muhammad Rosli (kiri) mengusung jenazah Khairol Barriah (gambar kecil) untuk dikebumikan di Taman Gadong Jaya, semalam.



PORT DICKSON - Seorang lelaki menyaksikan sendiri isteri kesayangannya menghembuskan nafas akhir dalam satu kemalangan di hadapan sebuah stesen minyak di Bandar Springhill, kira-kira jam 7.45 pagi semalam.

Mangsa, Khairol Barriah Che Som, 50, yang bertugas di Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI), mengalami kecederaan parah hampir keseluruhan badan, maut di tempat kejadian apabila motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah lori yang secara tiba-tiba membelok ke kanan.

Menurut Muhammad Rosli, 52, semasa kejadian, dia dan isterinya ke tempat kerja di Port Dickson secara berasingan.

“Saya menaiki kereta manakala dia menunggang motosikal. Sebelum bertolak ke tempat kerja, saya ada memberitahu isteri agar sama-sama menaiki kereta, namun dia menolak kerana menurutnya dia mahu menguruskan beberapa perkara yang mana lebih mudah jika dia menaiki motosikal.

“Kami bertolak dari rumah bersama, dia berada di hadapan saya, manakala menaiki kereta mengekorinya dari belakang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba ada sebuah lori dari arah bertentangan membelok ke kanan dan berlaku pertembungan walaupun isteri saya sempat membrek motosikalnya,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Port Dickson, semalam.

Muhammad yang bekerja sebagai penyelia di sebuah hotel di sini berkata, dia segera memberhentikan keretanya sejurus melihat kejadian itu.

"Saya terus memangku dia dan keadaannya amat parah. Hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Namun, saya reda dengan ketentuan ini," katanya.

Sementara itu, difahamkan pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan namun masih terkejut dengan insiden berkenaan.

Jenazah khairol Barriah dituntut ahli keluarga dan dibawa pulang ke rumahnya Taman Gadong Jaya untuk urusan pengebumian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Abd Wahab Harun berkata, kejadian berlaku di kilometer 15.4 Jalan seremban melibatkan sebuah lori pasir yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun dengan sebuah motosikal yang di tunggang mangsa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Sinar Harian, semalam

LIHAT ISTERI MAUT DI DEPAN MATA

Isteri maut depan mata
Muhammad Rosli (kiri) mengusung jenazah Khairol Barriah (gambar kecil) untuk dikebumikan di Taman Gadong Jaya, semalam.



PORT DICKSON - Seorang lelaki menyaksikan sendiri isteri kesayangannya menghembuskan nafas akhir dalam satu kemalangan di hadapan sebuah stesen minyak di Bandar Springhill, kira-kira jam 7.45 pagi semalam.

Mangsa, Khairol Barriah Che Som, 50, yang bertugas di Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI), mengalami kecederaan parah hampir keseluruhan badan, maut di tempat kejadian apabila motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah lori yang secara tiba-tiba membelok ke kanan.

Menurut Muhammad Rosli, 52, semasa kejadian, dia dan isterinya ke tempat kerja di Port Dickson secara berasingan.

“Saya menaiki kereta manakala dia menunggang motosikal. Sebelum bertolak ke tempat kerja, saya ada memberitahu isteri agar sama-sama menaiki kereta, namun dia menolak kerana menurutnya dia mahu menguruskan beberapa perkara yang mana lebih mudah jika dia menaiki motosikal.

“Kami bertolak dari rumah bersama, dia berada di hadapan saya, manakala menaiki kereta mengekorinya dari belakang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba ada sebuah lori dari arah bertentangan membelok ke kanan dan berlaku pertembungan walaupun isteri saya sempat membrek motosikalnya,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Port Dickson, semalam.

Muhammad yang bekerja sebagai penyelia di sebuah hotel di sini berkata, dia segera memberhentikan keretanya sejurus melihat kejadian itu.

"Saya terus memangku dia dan keadaannya amat parah. Hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Namun, saya reda dengan ketentuan ini," katanya.

Sementara itu, difahamkan pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan namun masih terkejut dengan insiden berkenaan.

Jenazah khairol Barriah dituntut ahli keluarga dan dibawa pulang ke rumahnya Taman Gadong Jaya untuk urusan pengebumian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Abd Wahab Harun berkata, kejadian berlaku di kilometer 15.4 Jalan seremban melibatkan sebuah lori pasir yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun dengan sebuah motosikal yang di tunggang mangsa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Sinar Harian, semalam